Selasa, 18 September 2007

FASA 2 (LAPORAN)

LAPORAN

9 September 2007 (Ahad)
Pada pukul 9.30 pagi, Ahli Jawatan Kuasa Sinar Tandop bersama guru-guru mengadakan lawatan sambil belajar ke Ladang Ternakan Puyuh, Jaya Puyuh di Batu 17, Jalan Naka, Alor Star, Kedah. Kami disambut mesra oleh Encik Nasir bin Abdullah. Kami diberi taklimat mengenai cara-cara menternak puyuh seperti cara-cara penetasan telur puyuh, menjaga anak-anak puyuh, pemakanan dan pengawalan suhu tempat ternakan puyuh.
Pada pukul 12.45 tengahari, Encik Ahmad Fadill bin Mohd. Said memberi taklimat penyelarasan di makmal komputer sekolah. Taklimat ini bertujuan membincangkan tentang pembelian alatan membina tempat ternakan puyuh dan perkara-perkara berkaitan.
10 September 2007 (Isnin)
Pada pagi ini, En. Ahmad Fadill memesan dan membeli barang-barang pembinaan seperti kayu, dawai, simen, pasir dan sebagainya. Guru-guru serta pekerja sekolah melawat tapak yang akan didirikan tempat penternakan puyuh. Ahli Jawatan Kuasa membahagikan tugas masing-masing. Contoh tugas yang diagihkan ialah seperti mengangkat kayu, menyorong pasir menggunakan kereta sorong, memasang dawai, memasang atap, menyimen lantai, memasang pintu dan tugas-tugas yang sepatutnya.
11 September 2007 (Selasa)
Kerja membina tempat ternakan puyuh ini akan dilakukan secara gotong-royong di kalangan warga SK Tandop Besar. Inilah kelebihan yang ada di kalangan kami warga SK Tandop Besar. Kami melaksanakan tugas-tugas yang telah diagihkan kelmarin. Murid-murid lelaki mengangkat kayu yang terletak di belakang sekolah untuk digergaji oleh guru-guru lelaki. Manakala murid-murid perempuan mengangkut pasir menggunakan penyodok dan dimasukkan ke dalam kereta sorong untuk disorong oleh murid-murid lelaki. Guru-guru lelaki memaku kayu untuk dibuat rangka tempat ternakan puyuh. Kami, AJK murid pula bekerjasama mencabut rumput yang panjang di kawasan yang hendak disimenkan. Kami bergotong-royong menyiapkan projek tersebut dengan bersungguh-sungguh beserta semangat yang berkobar-kobar.
12 September 2007 (Rabu)
Guru-guru lelaki, pekerja sekolah dan AJK Sinar Tandop bertungkus-lumus menyiapkan tugas-tugas yang masih belum disiapkan seperti memasang atap, menyimen lantai, memasang dawai dan lain-lain lagi. Guru dan murid lelaki yang menyimen lantai agak comot kerana simen terkena baju dan kaki mereka. Tugasan ini nampaknya terpaksa disambung pada minggu hadapan memandangkan esok(Khamis) umat Islam akan menyambut Ramadhan dan Negeri Kedah akan bercuti pada 1 Ramadhan.
16 September 2007 (Ahad)
Kerja-kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Kawasan Padang Terap khususnya Tandop Besar mengalami hujan setiap hari bermula pada hari Khamis lagi. Kami para AJK Sinar Tandop berkumpul bagi membuat laporan yang akan dimuatkan di dalam blog. En. Ahmad Fadill mengajar kami cara memuatnaik (upload) laporan ke dalam blog.
17 September 2007 (Isnin)
Walaupun hari ini masih hujan ditambah pula bulan puasa, guru-guru tetap teguh dengan pendirian masing-masing hendak menyiapkan tugas tersebut. Guru-guru memasang pintu tempat ternakan puyuh. Tempat ternakan puyuh ini hampir 80% siap. Kami semua menjangkakan anak-anak puyuh akan mula dimasukkan pada minggu hadapan jika tiada halangan.
18 September 2007 (Selasa)
Hari ini kerja-kerja pembinaan tidak dapat diteruskan kerana ramai di antara 'sukarelawan' mempunyai tugas masing-masing. Ada di antara mereka berkursus, bermesyuarat dan lain-lain. Kami mengambil peluang ini bagi mengemaskini blog untuk tatapan semua. Jika diizinkan, esok kami semua akan memulakan kembali tugas yang tertangguh.
19 September 2007 (Rabu)
Kerja pembinaan disambung seperti biasa. Reban hampir 80% siap dibina.
20 September 2007 (Khamis)
Kerja pembinaan diteruskan dengan harapan anak-anak puyuh dapat dilepaskan pada hari Ahad tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana ada kekangan yang tidak dapat dielakkan. Proses pembinaan hampir 95% siap.
23 September 2007 (Ahad)
Akhirnya, reban yang dibina hasil gotong-royong dan menggunakan bahan-bahan lebihan projek-projek sekolah sebelum ini siap dalam masa 13 hari. Pelbagai dugaan dihadapi terutama sekali menguji kesabaran membina reban dalam bulan puasa. Kerja-kerja pembinaan sebelum ini terpaksa diperlahan kerana keletihan serta kehausan. Murid-murid dikerah bagi membersihkan kawasan sekitar tempat pembinaan. En. Ahmad Fadill membuat pengesahan pesanan kepada Jaya Puyuh yang akan membekalkan anak-anak puyuh.
24 September 2007 (Isnin)
Pada jam 10.00 pagi, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tandop Besar, Tuan Hj. Omar bin Man telah merasmikan Program Maxis Cyberlinq Fasa 2 - Ternakan Puyuh "Pertanian dan Penternakan Menjana Ekonomi Negara" dengan melepaskan anak-anak puyuh ke dalam reban yang telah siap dibina hasil gotong-royong oleh warga SK Tandop Besar.
Sebanyak 200 ekor anak puyuh telah dilepaskan oleh Tuan Guru Besar dan disaksikan oleh guru-guru, AJK Sinar Tandop, Staf sokongan dan murid-murid. Tuan Guru Besar amat berbangga di atas komitmen dan kerjasama yang telah ditunjukkan oleh guru-guru, staf sokongan dan murid-murid dalam menjayakan satu 'misi masa depan'. Beliau berharap agar projek ini dapat diteruskan supaya lebih ramai murid dapat pengalaman serta memberi manfaat kepada penduduk setempat.
En. Ahmad Fadill telah pun menyediakan jadual penjagaan puyuh kepada kami. Kami dimestikan memberi makan kepada puyuh-puyuh tersebut 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan waktu petang. Bagi kami ia tidak memberi apa-apa masalah kerana pada waktu petang kami menghadiri kelas KAFA. Malahan pula, rata-rata rumah AJK Sinar Tandop terletak berdekatan dengan kawasan sekolah.
26 SEPTEMBER 2007 (Rabu)
Dengan lebihan besi-besi yang ada di sekolah ditambah dengan kepakaran yang ada, para guru telah sepakat ingin membina satu tempat bagi mengantung banner serta boleh dijadikan papan kenyataan (info) bagi projek ternakan puyuh ini. Setelah dihitung, kos bagi melaksanakan projek ternakan puyuh ini sekitar RM 2500. Tetapi, kos ini dapat dikurangkan kepada RM 1000 kerana kami telah menggunakan bahan-bahan lebihan projek yang dijalankan di sekolah serta sumbangan ikhlas guru-guru dan waris.
30 SEPTEMBER 2007 (Ahad)
Pada hari ini genaplah seminggu pelepasan anak-anak puyuh oleh Tuan Guru Besar. Dalam masa seminggu ini, bermacam pengalaman yang kami perolehi. Samada dari segi penjagaan hinggalah tabiat puyuh. Puyuh-puyuh ini cepat membesar dan menurut En. Nasir (penternak puyuh) kebiasaannya daging puyuh boleh dituai pada hari ke-30 hingga 35. Ini bermakna lebih kurang 2 minggu sahaja lagi kami akan mendapat hasilnya. Jikalau dibiarkan puyuh-puyuh ini sehingga hari ke-45, maka akan dapat dituai hasil telurnya pula. Puyuh-puyuh ini akan bertelur setiap hari selama 3 bulan.
Dari segi tabiat puyuh pula, ia suka berada di sudut bangunan. Jika kita melihat puyuh-puyuh ini berehat, maka kita akan terkejut kerana menyangkakan ia mati tetapi sebenarnya begitulah cara ia berehat. Resam hidup, yang lemah terpaksa mengalah dan yang kuat akan terus berkuasa. Sepanjang minggu lepas 5 ekor anak-anak puyuh mati. Ini mungkin disebabkan mereka tidak mendapat makanan yang mencukupi. Oleh yang demikian, En. Ahmad Fadill telah menambah satu lagi bekas makanan bagi mengatasi masalah tersebut.
08 OKTOBER 2007 (Isnin)
Pelepasan anak-anak puyuh sudah masuk minggu ke-3. Murid-murid nampaknya sudah makin serasi dengan cara penjagaan puyuh. Puyuh-puyuh pula makin sihat dan cergas. Ini terbukti dengan hanya 3 ekor sahaja puyuh mati sepanjang minggu lepas (02 hingga 8 Oktober). Kami dapat mengatasi kematian puyuh yang boleh dikatakan banyak pada minggu lepas dengan mengasingkan puyuh-puyuh yang kurang cergas ke dalam satu tempat khas.
Menurut Encik Nasir (Penternak/pembekal puyuh), puyuh-puyuh mesti dielakkan daripada tempat yang licin. Ini kerana, kaki puyuh mudah cedera atau tempang seterusnya menyukarkan ia bergerak untuk makan. Kami AJK Sinar Tandop telah mengambil langkah dengan menaburkan carikan kertas bagi mengelakan lantai licin terutama sekali masa puyuh masih kecil. Cara ini terbukti berkesan kerana kami dapat mengurangkan jumlah kematian puyuh kepada 3 ekor. Ini pun yang telah cedera sebelum diambil tindakan. Kami semakin matang dan dapat memahami kerenah penjagaan puyuh.
Kami telah mula mengambil tempahan puyuh daripada guru-guru dan murid-murid. Hasilnya memang menggalakkan kerana pada hari ini sahaja tempahan sudah mencecah 130 ekor. Bagi menggalakkan serta mempromosikan puyuh, kami menjual dengan harga RM2 seekor (puyuh bersih). Kalau diikutkan harga pasaran puyuh setempat, ia dijual dengan harga antara RM 2.50 hingga RM 3.30 seekor. Puyuh-puyuh ini akan dibekalkan kepada pelanggan pada hari akhir persekolahan (Rabu) sebelum mula bercuti pada hari Khamis.
10 OKTOBER 2007 (Rabu)
Pada hari ini AJK Sinar Tandop telah mendapat tempahan puyuh berjumlah 157 ekor hanya daripada kalangan guru-guru SK Tandop Besar. Tempahan yang diterima amat menggalakkan dan pihak kami terpaksa menolak sebilangan tempahan kerana kekurangan bekalan. Baki puyuh yang ada sekarang sebanyak 35 ekor akan dijadikan induk untuk menghasilkan telur. Pada jam 12.30 tengahari AJK Sinar Tandop telah mengagihkan puyuh-puyuh yang ditempah kepada para pelanggan. Semua AJK Sinar Tandop berasa sungguh seronok kerana percubaan kali pertama dan tanpa pengetahuan tentang puyuh sudah mendatangkan hasil. Para AJK juga tidak ketinggalan diberi puyuh percuma bagi merasai keringat yang mereka curahkan.
Insyaallah jika diizinkan, apabila sekolah dibuka kami akan dapat merasai telur puyuh pula. Pihak kami juga bercadang untuk menjemput Encik Nasir dari Syarikat Jaya Puyuh bagi memberi sedikit ceramah kepada murid-murid SK Tandop Besar berkenaan dengan penjagaan puyuh. Ini kerana, mereka begitu berminat untuk membela puyuh sehinggakan ada dikalangan mereka meminta untuk membeli puyuh yang pihak kami bela.
21 OKTOBER 2007 (Ahad)
Sepanjang 10 hari cuti hari raya yang lepas kami AJK Sinar Tandop tidak menghadapi sebarang masalah dengan penjagaan baki puyuh yang ada. Ini kerana, komitmen yang ditunjukkan oleh AJK amat tinggi walaupun sedang bercuti. Tambahan pula, puyuh yang ada sudah besar dan hanya ada baki 36 ekor sahaja lagi. Maklum balas yang kami terima daripada guru-guru tentang daging puyuh yang kami jual pada hari terakhir persekolahan amat menggalakkan sehinggakan ada di kalangan mereka ingin membuat tempahan lagi. Hari ini kami sudah mula mendapat hasil yang kedua, sudah ada puyuh yang sudah cukup matang dan mengeluarkan telur. Para AJK begitu seronok apabila memasuki reban dan terlihat satu biji telur. Walaupun hanya sebiji, kami tetap berbangga kerana usaha kami selama ini sudah berjaya.
28 OKTOBER 2007 (Ahad)
Setakat hari ini sudah ada 11 biji telur puyuh. Dalam proses bertelur, selain makanan kami juga perlu memastikan puyuh-puyuh ini sentiasa mendapat air yang secukupnya. Murid-murid berasa seronok kerana setiap pagi mereka akan dapat mengutip telur puyuh hasil jagaan mereka. Kami menjangkakan pada minggu ini akan lebih banyak puyuh yang boleh bertelur.
02 NOVEMBER 2007 (Jumaat)
Encik Nasir dari Syarikat Jaya Puyuh telah berbesar hati menyumbangkan sangkar telur puyuh terpakai kepada Pasukan Sinar Tandop. Beliau begitu berbangga dengan komitmen dan usaha kami menjayakan projek ternakan puyuh. Menurut beliau, baki puyuh-puyuh yang tinggal begitu besar dan sihat. Kami merupakan salah sebuah intitusi pendidikan yang berjaya melaksanakan projek ini. Beliau boleh juga di katakan kerap mendapat undangan bagi memberi ceramah dan nasihat di institusi pengajian tinggi terutama Politeknik Muadzam Shah, Jitra, Kedah, tetapi sekolah ini telah berjaya melaksanakannya.

Tiada ulasan: